KUALA KANGSAR: Seorang lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa atas tuduhan membunuh rakan senegaranya, dua minggu lalu.

Mohammad Mokul Hossain, 34, bagaimanapun tidak faham pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh dan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Hossen Md Monowar di Jalan Kuak Pekan Kuak, Lenggong dalam daerah Hulu Perak, antara jam 7 petang sehingga 8 malam, 8 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya dikenakan huluman penjara hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 Oktober depan untuk sebutan oleh jurubahasa.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga asing ditemukan mati dalam keadaan mayatnya terbakar di dalam kebun pisang di Kampung Pengkalan Ikan, Kuak, Lenggong.

Mayat lelaki warga Bangladesh itu ditemukan orang awam rentung terbakar sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Hasil bedah siasat ke atas mayat lelaki itu di Jabatan Forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di kepala akibat trauma tumpul.